Friday, July 10, 2009

Kritikan Dr. M pandangan peribadi

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik dasar kerajaan, ia tidak bermakna beliau tidak menyokong pentadbiran kerajaan. Katanya, kritikan terhadap dasar kerajaan adalah pandangan peribadi dan beliau berhak berbuat demikian. “Banyak perkara (dasar) saya tidak bersetuju, tetapi itu pandangan peribadi. Saya berhak mempunyai pandangan sendiri tetapi itu tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas pentadbiran 100 hari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif 1Malaysia yang diadakan secara tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam. Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh membuat penilaian terhadap pentadbiran Najib dalam tempoh 100 hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu kerana belum membuat kajian mengenainya. Namun, katanya, dalam tempoh berkenaan Najib berjaya menonjolkan imej positif dengan sikap mesra dalam usaha menyelami masalah rakyat .

“Dia berjumpa lebih ramai orang dan dia juga tidak tidur (sentiasa peka dengan masalah). Ini semua positif,” katanya. Beliau berkata, kerajaan turut melakukan beberapa tindakan salah termasuk pembinaan jambatan ketiga Johor Bahru kerana dibuat tanpa kajian teliti. “Saya minta maaf atas kenyataan ini tetapi saya perlu menjelaskan yang benar kerana lebih banyak negatif daripada positif,” katanya. Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu diteruskan dengan syarat Bumiputera menghentikan tindakan menyalah guna kemudahan yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, banyak tindakan salah guna kemudahan berlaku termasuk Permit Import (AP), kontrak dan lesen yang dianugerahkan kepada mereka. Dr Mahathir juga berkata, imej pentadbiran Najib terjejas apabila memansuhkan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang boleh menjejaskan masa depan pelajar. “Saya cuba menilai pendapat orang ramai terutama ibu bapa yang melayari blog saya. Setakat ini kira-kira 26,000 yang memberi maklum balas dan daripada jumlah itu 80 peratus tidak bersetuju,” katanya.

sumber : BERITA HARIAN ( http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090711000818/Article/index_html )

1 comment: